Welcome To My Page

Friday, July 9, 2010

Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik


Setiap pekerjaan pasti ada cara pelaksanaannya. Seorang jurutera bangunan misalnya mestilah mahir tentang selok-belok berkaitan kejuruteraan bangunan agar bangunan tersebut akan dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Begitu juga dengan seorang doktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang jantung. Apabila ingin melakukan pembedahan jantung semestinya dia telah mengetahui terlebih dahulu kaedah dan prosedur perlaksanaannya, agar pembedahan yang bakal dilaksanakan mengikut prosedur kerja yang telah ditetapkan dan tidak berisiko kepada pesakit.

Begitu juga halnya dengan seorang guru yang mana ada kaedah-kaedah tertentu yang mesti digunapakai bagi menghasilkan situasi pengajaran dan pembelajaran yang menarik di dalam bilik darjah agar objektifnya tercapai dengan jayanya. Guru yang hebat pasti ada gayanya yang tersendiri dalam melayani karenah persekitaran dan para pelajar yang sentiasa berubah-ubah mengikut zamannya. Kaedah yang digunakan oleh guru 10 tahun dahulu belum tentu sesuai diguna pakai pada zaman sekarang. Begitu juga dengan kaedah yang sedang diguna pakai pada zaman sekarang belum tentu sesuai untuk 10 tahun akan datang. Hal ini terjadi apabila sikap, dan perwatakan manusia turut berubah.

Namun yang demikian, kita seharusnya perlu ingat bahawa Rasulullah SAW merupakan manusia terbaik yang diciptakan Allah dimuka bumi ini. Sesungguhnya Rasulullah SAW itu adalah guru segala guru dan dialah sebaik-baik panduan buat kita semua.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

‘’ Sesungguhnya aku diutus sebagai pengajar’’

(Riwayat Imam Ibnu Majah)
As-syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam buku beliau bertajuk Nabi Muhammad; Guru Dan Pendidik Terulung menukilkan apa yang pernah disebut oleh Musannif berkaitan diri Rasulullah SAW sebagai guru yang teragung dibumi Allah ini. Kata Musannif;

‘’ Demikianlah sejarah telah membuktikan bahawa baginda merupakan guru terulung yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapapun. Kadaan manusia yang begitu rosak sebelum kedatangan baginda dan perubahan positif ke arah nilai-nilai murni yang begitu mendadak setelah baginda menjalankan dakwahnya dan menyerap metod-metod yang mampu menarik perhatian seluruh manusia. Dan inilah bukti yang cukup ampuh lagi kukuh bahawa baginda merupakan pendidik dan guru yang terunggul. ‘’


Rasulullah juga mempunyai kaedah mendidik seperti cara menyampaikan ilmu kepada para sahabat, cara bersoal jawab, cara bergurau senda, memberi nasihat dan juga cara meraikan pelajar Baginda. Maka, janganlah kita menunggu lagi wahai guru sekalian. Telah terbukti bahawa Rasulullah SAW juga adalah guru dan wajar kita mencontohinya kerana keagungannya. Marilah kita menyeru diri dan rakan-rakan agar menjadikan rasulullah SAW sebagai contoh utama buat kita sepanjang bergelar pendidik. Marilah kita sama-sama mengamalkan apa yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW buat kita kerana dengan itu kita juga mengamalkan sunah Rasulullah SAW iaitu semasa menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik kita.

Nukilan ini dipetik daripada buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik, karya Cikgu Razali Saaran, terbitan Mustread tahun 2010. Untuk meneruskan pembacaan anda, sila dapatkan buku tersebut.

No comments:

Post a Comment