Welcome To My Page

Friday, July 9, 2010

Meninggal Dunia Dalam Tahanan Polis - Suaram Gesa Bayar Pampasan



KUALA LUMPUR, 9 Julai: Suaram menggesa Peguam Negara supaya membayar pampasan ganti rugi yang berjumlah RM1.4 juta kepada kepada Puan Suzana Md Aris yang telah kematian suami semasa dalam tahanan polis.

Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata, pembayaran pampasan tersebut merupakan satu kemenangan rakyat dalam memperjuangkan hak asasi manusia dalam kes kematian dalam tahanan polis.
Puan Suzana merupakan isteri kepada mangsa Mohd Anuar Sharip, 31, yang telah meninggal dunia dalam tahanan polis di Balai Polis Rawang pada 19 Ogos 1999.

Pada 1 Julai 2010, Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng telah memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dan kerajaan perlu bertanggungjawab membayar ganti rugi sebanyak RM1.4 juta kepada Puan Suzana ke atas kecuaian dan kegagalan pihak polis yang menyebabkan suaminya Mohd Anuar Sharip meninggal dunia dalam tahanan lokap.

“Isu kematian dalam tahanan selalu menjadi isu yang hangat sejak dahulu lagi dan kami memandang amat serius terhadap isu ini kerana perbuatan membunuh seseorang semasa dalam tahanan polis adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan hak asasi manusia,” kata Heng Lung dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malah, jelasnya, ia turut menyalahi dan mencabuli Artikel 5(1) seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu menghormati hak bernyawa setiap manusia terutamanya dalam menjalankan tugas tanpa mengira sama ada penjenayah atau orang biasa.

Katanya, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri di Parlimen baru-baru ini, menyatakan bahawa terdapat sebanyak 153 kes kematian dalam tahanan polis antara tahun 1999 hingga 2008.

“Kami berpendapat bahawa pihak polis perlu bertanggungjawab terhadap segala kes kematian dalam tahanan kerana adalah tanggugjawab polis untuk menjaga OKT (orang kena tahan) dalam keadaan sihat seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap(L.N.3289/1958)(4).

''Oleh itu, kami berpendapat bahawa amat penting wujudkan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) yang bersifat bebas ,telus dan adil untuk menyelesaikan masalah sedemikian serta mengawal tindakan polis memandangkan terlalu banyak kes kematian dalam tahanan berlaku sekian hari,” ujarnya.

Justeru, katanya Suaram menyeru sekali lagi agar Peguam Negara menghormati keputusan mahkamah dan segera membayar pampasan kepada Puan Suzana kerana segala bukti dalam kes Mohd Anuar Sharip adalah jelas dan kini tiba masanya keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.



Bersih Serah Memo Kepada SPR




KUALA LUMPUR, 9 Julai: Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini tetap menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) meskipun gagal bertemu dengan pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Menurut Setiausaha Bersih, Faisal Mustaffa, memorandum mengandungi lima tuntutan itu hanya diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said setelah permintaan untuk mengadakan pertemuan dan dialog dengan Abdul Aziz tidak diterima.

"Tidak ada pertemuan pun di antara kami dengan Pengerusi SPR. Alasan yang diberikan, beliau ada urusan lain dan tidak ada sebab yang menggesa beliau untuk bertemu kami. Tetapi kami telah pun menyerahkan memorandum kepada pegawainya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Bersih bagaimanapun katanya, akan terus untuk memohon untuk mengadakan sesi dialog dengan SPR untuk berbincang mengenai tuntutan-tuntutan yang masih belum mendapat perhatian pihak SPR.

"Kita memang memerlukan satu pertemuan dengan pihak SPR bagi mereka menjawab segala tuntutan Bersih dan selepas ini kita akan memohon lagi untuk bertemu SPR," katanya.

Mengulas lanjut mengenai memorandum yang diserahkan itu, Faisal memberitahu, perkara utama yang ditekankan adalah mengenai persempadanan semula pilihan raya yang masih tidak diketahui umum.
Sehubungan itu, Bersih katanya, memerlukan penjelasan daripada SPR kerana melihat pesempadanan semula yang dilakukan sebelum ini tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.

"Yang paling penting ialah mengenai persempadanan semula pilihan raya, yang banyak tidak diketahui secara umum. Kita juga berkerjasama dengan Merdeka Center mengadakan 'pilot study' berkenaan pesepadanan itu, dan ingin dapatkan penjelasan daripada SPR yang mana persempadanan SPR tidak dilakukan mengikut lunas-lunas yang betul. Kita juga ada proposal bagaimana sepatutnya persempadan ini harus dilakukan," katanya.

Selain itu, Bersih meneruskan empat tuntutan sebelum ini yang belum dilaksanakan iaitu penggunan dakwat kekal, akses kepada media secara adil, penghapusan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.

"Ia juga termasuk demokrasi pelbagai parti dan juga pentadbiran pilihan raya itu sendiri," katanya

Bersih juga mengambil serius mengenai kekangan yang dihadapi SPR kononnya mereka tidak ada kuasa untuk melakukan reformasi dalam proses pilihan raya.

"Isu yang penting kekangan atau alasan yang diberi SPR ialah undang-undang tidak membenarkan mereka untuk melaksanakan reformasi begini. Tapi kita sudah jelaskan dalam memorandum bahawa SPR mengikut perlembagaan mempunyai kuasa untuk mengusulkan pindaan kepada akta berhubung pilihan raya," jelasnya.

Turut hadir di pejabat SPR tadi ialah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, ahli-ahli jawatankuasa induknya, Maria Chin Abdullah dan Wong Chin Huat.

Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik


Setiap pekerjaan pasti ada cara pelaksanaannya. Seorang jurutera bangunan misalnya mestilah mahir tentang selok-belok berkaitan kejuruteraan bangunan agar bangunan tersebut akan dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Begitu juga dengan seorang doktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang jantung. Apabila ingin melakukan pembedahan jantung semestinya dia telah mengetahui terlebih dahulu kaedah dan prosedur perlaksanaannya, agar pembedahan yang bakal dilaksanakan mengikut prosedur kerja yang telah ditetapkan dan tidak berisiko kepada pesakit.

Begitu juga halnya dengan seorang guru yang mana ada kaedah-kaedah tertentu yang mesti digunapakai bagi menghasilkan situasi pengajaran dan pembelajaran yang menarik di dalam bilik darjah agar objektifnya tercapai dengan jayanya. Guru yang hebat pasti ada gayanya yang tersendiri dalam melayani karenah persekitaran dan para pelajar yang sentiasa berubah-ubah mengikut zamannya. Kaedah yang digunakan oleh guru 10 tahun dahulu belum tentu sesuai diguna pakai pada zaman sekarang. Begitu juga dengan kaedah yang sedang diguna pakai pada zaman sekarang belum tentu sesuai untuk 10 tahun akan datang. Hal ini terjadi apabila sikap, dan perwatakan manusia turut berubah.

Namun yang demikian, kita seharusnya perlu ingat bahawa Rasulullah SAW merupakan manusia terbaik yang diciptakan Allah dimuka bumi ini. Sesungguhnya Rasulullah SAW itu adalah guru segala guru dan dialah sebaik-baik panduan buat kita semua.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

‘’ Sesungguhnya aku diutus sebagai pengajar’’

(Riwayat Imam Ibnu Majah)
As-syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam buku beliau bertajuk Nabi Muhammad; Guru Dan Pendidik Terulung menukilkan apa yang pernah disebut oleh Musannif berkaitan diri Rasulullah SAW sebagai guru yang teragung dibumi Allah ini. Kata Musannif;

‘’ Demikianlah sejarah telah membuktikan bahawa baginda merupakan guru terulung yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapapun. Kadaan manusia yang begitu rosak sebelum kedatangan baginda dan perubahan positif ke arah nilai-nilai murni yang begitu mendadak setelah baginda menjalankan dakwahnya dan menyerap metod-metod yang mampu menarik perhatian seluruh manusia. Dan inilah bukti yang cukup ampuh lagi kukuh bahawa baginda merupakan pendidik dan guru yang terunggul. ‘’


Rasulullah juga mempunyai kaedah mendidik seperti cara menyampaikan ilmu kepada para sahabat, cara bersoal jawab, cara bergurau senda, memberi nasihat dan juga cara meraikan pelajar Baginda. Maka, janganlah kita menunggu lagi wahai guru sekalian. Telah terbukti bahawa Rasulullah SAW juga adalah guru dan wajar kita mencontohinya kerana keagungannya. Marilah kita menyeru diri dan rakan-rakan agar menjadikan rasulullah SAW sebagai contoh utama buat kita sepanjang bergelar pendidik. Marilah kita sama-sama mengamalkan apa yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW buat kita kerana dengan itu kita juga mengamalkan sunah Rasulullah SAW iaitu semasa menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik kita.

Nukilan ini dipetik daripada buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik, karya Cikgu Razali Saaran, terbitan Mustread tahun 2010. Untuk meneruskan pembacaan anda, sila dapatkan buku tersebut.

Ikan ada Omega 3?

Pemakanan seimbang merupakan salah satu faktor yang penting dalam kesihatan kita seharian. Dengan adanya badan yang sihat, insyaAllah kita dapat beribadah kepada Allah SWT dengan lebih tenang dan lebih mudah. Namun yang demikian, pada hari ini semakin ramai yang mengabaikan kesihatan diri. Ini dapat dilihat denganadanya tabiat pemakanan yang tidak sihat dimana manusia lebih suka memakan makanan segera berbanding sayur-sayuran, buah-buahan, daging, ikan serta makanan berkhasiat yang lainnya. Peningkatan pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetis, penyakit jantung dan juga penyakit buah pinggang turut membuktikan adanya masalah dalam pemakanan manusia hari ini yang telah menyumbang kepada penyakit-penyakit tersebut.

Sehubungan itu, ana ingin kongsikan dengan antum semua satu ciptaan Allah SWT yang cukup berkhasiat iaitu ikan. Pakar perubatan juga telah sebulat suara mengesahkan bahawa ikan merupakan sumber makanan yang sangat baik untuk kesihatan jantung. Hasil kajian sains juga telah membuktikan bahawa ikan merupakan sumber makanan yang penting dalam keperluan pemakanan seimbang kita. Hakikatnya, Al-Quran terlebih dahulu menceritakan khasiat ikan sebelum para saintis membuktikan melalui kajian mereka.
Firman Allah SWT yang bermaksud ;

‘’Dan Dia yang memudahkan keadaan laut, supaya dengan keadaan itu kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut (lahman tariyya) hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan darinya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal berlayar padanya;dan agar kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNYA dan agar kamu bersyukur.’’

(Surah An-Nahl,14)

Antara manfaat dari ikan untuk kesihatan adalah seperti berikut:

1. Mengandungi asid lemak omega 3
Asid lemak omega 3 berfungsi menghasilkan sel-sel darah merah yang digunakan untuk mengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan

2. Mencegah penyakit kardiovaskular
Ikan menuurnkan tekanan darah dan juga paras kolesterol dalam darahdan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.

3. Manfaat untuk bayi
Asid lemak Omega 3 dalam ikan amat penting dalam perkembangan janin semasa dalam kandungan. Ianya juga mempengaruhi kecerdasan serta kesihatan bayi selepas dilahirkan kelak.

4. Manfaat untuk sendi dan tulang
Asid lemak omega 3 yang diperolehi dalam ikan juga penting dalam mengurangkan derita penyakit sendi bahkan mampu mencegahnya.

5. Manfaat untuk mental
Ikan berkesan untuk perkembangan otak dan saraf, manakala minyak pula mampu mengurangkan kemurungan.

6. Menguatkan sistem pertahanan badan
Selain itu, ikan juga bermanfaat dalam mengurangkan gejala-gejala penyakit migrain, mengurangkan risiko penyakit lupus dan memperlahankan penyakit osteoporosis.

Maka, sehubungan itu marilah kita sama-sama ambil manfaat ikan dalam pemakanan seharian kita. Semoga dengan itu, kita dapat mengekalkan kesihatan kita untuk terus beribadat kepada Allah SWT.


Nukilan ini dipetik dari tulisan Dr Farhan Hadi Mohd Taib, dalam ruangan Islam Dan Sains, Majalah Solusi, bilangan 20(2010) terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Lima Musuh Orang Mukmin

Ana ingin kongsikan sebuah artikel dari Muhammad Hilal Asyraf Bin Abd Razak ataupun nama pena beliau Hilal Asyraf dalam buku beliau,  Langit Illahi 2-Kembara Hamba Mencari Cahaya



Saya pernah membaca sebuah buku. Buku itu menyebut mengenai cabaran-cabaran sepanjang kehidupan seorang mukmin. Dalam buku itu terdapat sebuah hadis yang telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibu Lal daripada hadis Anas dalam tajuk ,’’Akhlak Yang Luhur’’.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

‘’Orang mukmin itu sentiasa berada di ambang lima dugaan yang sukar;

1. Mukmin yang dengki kepadanya

2. Munafik yang benci kepadanya

3.Kafir yang memeranginya

4. Syaitan yang menyesatkannya

5. Nafsu yang sering bertarung untuk menewaskannya’’
Kalau kita melihat dan meneliti dengan baik, kelima-lima perkara yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW ini telah merangkumi semua masalah dan cabaran yang perlu kita hadapi sepanjang hayat kita didunia ini. Rasulullah SAW diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Justeru, secara umum dalam hadis ini, baginda terlebih dahulu memberikan pesanannya kepada kita mengenai dugaan yang akan kita hadapi supaya kita boleh bersedia dan berjaga-jaga. Kita perlu mengkaji sebenarnya, apakah bekalan dan persiapan yang perlu kita lakukan untuk menghadapi kelima-lima dugaan ini. Kiranya yang demikian, barulah kita dapat mengatasi segala halangan dan rintangan dengan selamat.
Melihat kelima-lima cabaran yang disebutkan oleh Rasulullah SAW itu, kita akan sedar bahawa kehidupan kita sentiasa berada di ambang masalah, dugaan dan cabaran. Kita akan diserang dari pelbagai sudut dan jihat. Jika kita bersedia, maka kita akan keletihan dan penat, seterusnya terluka dan cedera akhirnya tersungkur, gugur dan tewas.


Seperti yang saya katakana, Rasulullah SAW memberitahu kita perkara ini untuk kita bersedia.Justeru menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil hadis ini sebagai peringatan dan membuat persediaan yang sebaik mungkin serapi yang boleh bagi menghadapi kehidupan yang lebih baik.

Semoga dengan cabaran-cabaran yang Rasulullah SAW sebutkan itu, tidak melemahkan kekuatan kita dalam mencapai tujuan kehidupan kita, iaitu beribadah kepada allah dan pulang kepada-NYA dengan selamat.

Persoalannya, apakah persiapan yang perlu kita buat dan perlu kita ambil? Bagaimanakah cara yang tepat dan betul untuk menghadapi kelima-lima masalah ini?

Anda dapat caranya?

Hendak berkongsi dengan saya?

Saya bersedia dengan tangan yang terbuka.









DNA; Ciptaan Allah Atau Satu Kebetulan?


DNA merupakan sebuah molekul yang terletak didalam nukleus setiap hidupan. Semua ciri fizikal hidupan telah dikodkan didalam molekul berbentuk heliks ini. Semua maklumat berkaitan badan kita, dari warna mata sehingga bentuk struktur organ dalaman serta bentuk dan fungsi sel telah dikodkan di dalam satu bahagian dikenali sebagai gen DNA. DNA terbentuk darpada turutan empat jenis bes berbeza. Jika bes ini dilihat seperti abjad, DNA boleh diandaikan seperti satu pusat penyimpanan data yang terdiri empat abjad. Semua maklumat tentang benda hidup disimpan di dalam pusat penyimpanan data ini.

Jika kita ingin menulis semua data yang ada di dalam DNA, ini akan melibatkan berjuta-juta mukasurat. Ini boleh disamakan seperti ensiklopedia, dan empat puluh kali ganda lebih besar dari Ensiklopedia Britanika iaitu salah satu lambakan maklumat terbesar dalam sejarah manusia. Maklumat yang sangat menakjubkan ini tersimpan di dalam nukleus sel kita berukuran satu per seribu millimeter. Setelah dikira, rantai DNA yang cukup kecil untuk memenuhkan satu sudu kecil teh, mempunyai kapasiti untuk menyimpan semua maklumat yang terkandung dalam semua buku yang telah ditulis dewasa ini.

Semestinya, struktur yang menakjubkan ini tidak pernah dihasilkan dengan kebetulan dan ini membuktikan bahawa hidupan dicipta oleh Allah. Tidak mengejutkan, para pendukung teori evolusi tidak dapat menjelaskan asal-usul berkaitan DNA. Struktur DNA telah ditemui oleh dua orang saintis iaitu Francis Crick dan James Watson. Walaupun merupakan pendukung teori evolusi, Crick menyatakan bahawa DNA tidak mungkin akan muncul secara kebetulan. Selain itu, salah seorang pakar Biologi molekul dari Australia, Michael Denton menjelaskan dalam buku beliau, Evolution: A Theory in Crisis, bahawa idea DNA wujud secara kebetulan adalah tidak munasabah tetapi idea tersebut diterima oleh Darwinis (penyokong teori Darwin) tanpa ragu. Ini memperlihatkan bahawa evolusionis tetap mendukung idea Darwin walaupun sudah terang lagi bersuluh ianya tidak benar dan penuh penipuan. Jelas sekali, DNA merupakan ciptaan ALLAH dan bukannya terjadi secara kebetulan. SUBAHANALLAH,  betapa indahnya ciptaan ALLAH.

 
Artikel ini dipetik, dialihbahasa dan diubahsuai dari buku Tell Me About The Creation karya Harun Yahya, terbitan Goodword Books tahun 2001.

Thursday, July 8, 2010

Zaman Batu: Satu Penipuan Sejarah


Tahukah anda bahawa 700,000 tahun dahulu, manusia melayari lautan dengan binaan kapal yang bagus?
Atau pernahkah anda mendengar manusia yang digelar sebagai 'orang gua primitif' memiliki kemahiran artistik dan pemahaman sebagaimana yang dipunyai oleh artis moden?
Adakah anda tahu bahawa Neanderthal yang hidup sejak 80,000 tahun dulu dan digambarkan oleh para evolusionis sebagai 'manusia beruk', juga mampu membuat alatan muzik, memperoleh keselesaan dari pakaian dan aksesori, dan berjalan di atas pasir panas beralaskan sandal?

Dalam segala kemungkinan anda mungkin tidak pernah mendengar fakta-fakta berkenaan. Sebaliknya, anda telah diberi tafsiran salah bahawa manusia tersebut adalah separuh manusia dan separuh beruk, tidak mempu berdiri lurus, kurang kemahiran untuk berkomunikasi dan hanya mengeluarkan bunyi dengusan yang pelik. Ini kerana dalam masa lebih daripada 150 tahun, kebanyakan orang seperti anda telah dihujani oleh keseluruhan penipuan ini.

Tujuannya adalah untuk meneruskan perjuangan falsafah materialis yang menafikan kewujudan Allah SWT. Menurut perspektif yang menyeleweng ini, alam semesta dan kebendaan adalah abadi. Dengan erti kata lain, ia tiada permulaan, dan juga tiada Pencipta. Asas yang kononnya saintifik untuk kepercayaan karut ini adalah teori evolusi.Oleh kerana mereka mendakwa bahawa alam semesta tiada Pencipta, para evolusionis harus memberi penjelasan tentang bagaimana kehidupan dan sejumlah spesis lain wujud di bumi ini. Untuk tujuan itu, mereka menggunakan teori evolusi. Berdasarkan teori ini, semua kejadian dan kehidupan di alam semesta berlaku secara kebetulan. Sebahagian benda tidak bernyawa di zaman purbakala bercantum secara tidak sengaja lalu membentuk sel hidup pertama. Kemudian organisma terwujud hasil daripada ketidaksengajaan selama jutaan tahun ini. Dan akhirnya manusia wujud sebagai peringkat terakhir rantaian evolusi.
Sejarah awal manusia - yang dianggap hasil daripada perubahan secara kebetulan selama jutaan tahun, dan setiap satunya lebih mustahil daripada perubahan terakhir, telah diselewengkan untuk menyokong senario songsang ini. Evolusionis, yang sememangnya ketiadaan bukti-bukti kukuh, mendakwa bahawa asal sejarah manusia adalah seperti berikut: Bermula seperti bentuk kehidupan lain, berlangsung daripada organisma purba hingga kepada manusia yang dipercayai perkembangan paling maju berbanding yang lain. Oleh itu, sejarah manusia kononnya berkembang daripada komuniti primitif kepada masyarakat bandar yang moden. Hakikatnya, anggapan ini sama sekali tidak mempunyai sebarang bukti. Ia juga menggambarkan sejarah manusia seperti yang didakwa oleh falsafah materialis dan teori evolusi.

Para saintis evolusionis - dalam usaha mereka untuk menyokong proses evolusi yang dianggap bermula daripada sel tunggal kepada organisma berbilang sel, kemudian daripada beruk kepada manusia - bukan saja telah 'menulis' semula asal-usul manusia, bahkan juga 'mencipta' era khayalan seperti 'Zaman Orang Batu' dan 'Zaman Batu' untuk menjelaskan cara hidup 'Orang Primitif'. Evolusionis, yang percaya pada kepalsuan bahawa manusia dan beruk berasal daripada moyang yang sama, telah memulakan usaha dalam kajian baru demi membuktikan dakwaannya. Untuk itu, mereka meneliti setiap batu, atau mata panah, atau mangkuk yang ditemui semasa penggalian arkeologi. Walau bagaimanapun, gambaran 'manusia beruk' duduk di dalam gua yang gelap sambil berpakaian berbulu serta tidak mampu bercakap dengan baik, semuanya adalah rekaan semata-mata. Orang primitif tidak pernah wujud, begitu juga dengan Zaman Batu. Semuanya adalah pembohongan evolusionis dengan sebahagian bantuan media.

Dakwaan para evolusionis telah diruntuhkan sepenuhnya oleh perkembangan terbaru dalam bidang sains - terutamanya dalam ilmu biologi, paleontologi, mikrobiologi, dan genetik. Pendapat bahawa masing-masing spesis berubah menjadi 'versi terbaru', telah dibuktikan salah. Manusia juga tidak berkembang daripada makhluk beruk. Manusia sememangnya adalah manusia sejak kewujudan mereka lagi, dan mempunyai peradaban canggih sehingga ke hari ini. Maka, 'evolusi sejarah' juga tidak pernah terjadi.


Buku ini mendedahkan bukti-bukti saintifik bahawa 'evolusi sejarah manusia' hanyalah pembohongan semata-mata, dan kami akan menunjukkan bagaimana hakikat penciptaan telah disokong oleh penemuan saintifik terkini. Manusia wujud di dunia ini bukan melalui evolusi, tetapi dengan penciptaan sempurna Allah yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui sendiri bukti-bukti saintifik dan sejarahnya.







Monday, July 5, 2010

Recep Tayyip Erdogan-Pembela Kuasa Islam


‘Israel memiliki senjata nuklear. Mengapa negara lain tidak memberi amaran kepada Israel untuk tidak menyimpan senjata nuklear mereka tetapi mereka melakukan perkara sama kepada Iran?’

Demikianlah pemimpin islam Turki bersuara lantang menentang tekanan yang diberi ke atas Iran untuk membekukan program nuklearnya. Tidak ramai kalangan pemimpin dunia, lebih-lebih lagi pemimpin Islam yang begitu berani bersuara lantang seperti Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan. Semasa berdepan dengan BBC Erdogan juga tidak teragak-agak mempersoalkan tentang betapa Israel tidak berdepan dengan sebarang gesaan daripada masyarakat antarabangsa sebagaimana yang dialami oleh Iran.

Selain itu, Erdogan juga bersikap tegas dan berani mempertahankan prinsip beliau. Ini dapat dilihat semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos dimana beliau meninggalkan forum tersebut lebih awal setelah bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres. Ucapan Peres yang mempertahankan tindakan Israel menyerang Gaza mendapat tepukan gemuruh. Erdogan menempelak Peres,’Kamu bunuh mereka. Kamu bunuh penduduk Gaza. Saya rasa itu adalah salah. Peres, kamu lebih tua dari saya. Suara kamu terlalu tinggi. Kamu bunuh mereka. Saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai. Saya masih ingat dua bekas perdana menteri Israel yang berkata mereka gembira masuk Palestin dengan kereta kebal. Dalam soal membunuh kamu terlalu bagus.’

                            
Dalam kerjaya politiknya, Erdogan dilihat sebagai pro-Islam. Kemunculannya sebagai pemimpin dalam gerakan Islam dilihat mencabar bangsa elit sekular. Justeru, kebangkitan Turki dibawah pimpinan Erdogan turut menarik minat pelbagai pihak. Ketika berucap dalam satu forum Bahasa Turki-Arab di Istanbul yang dihadiri oleh menteri-menteri luar 17 negara, Erdogan memberitahu orang Turki tidak dapat berbuat apa-apa tanpa orang Arab. ‘’ kami kongsi sejarah, budaya dan tamadun’’. Tambahnya mereka yang mendakwa Turki hanyut ke barat hanyalah ingin mencetuskan propaganda. Berikut merupakan biodata pemimpin yang cukup disegani ini:
Nama           : Recep Tayyip Erdogan

Tarikh lahir   : 26 Februari 1954

Tempat lahir : Kasimpasa, Istanbul

Isteri            : Emine Erdogan

Anak           : Ahmet Burak, Bilal, Esra dan Sumeyye

Jawatan       : Perdana Menteri Israel 2003 – sekarang. Pemimpin Parti Pembangunan dan Keadilan(AK).

Pendidikan   : Sekolah Imam Hatip,Universiti Marmara(Jurusan Ekonomi Dan Sains Pentadbiran) 1981

Pengalaman : Datuk Bandar Istanbul (27 Mac-6 November 1998)

Ketegasannya dan kelantangannya bersuara berjaya membuka mata dunia bahawa negara serta umat slam tidak boleh ditindas dengan sewenangnya. Semoga khilafah Islam akan dapat ditegakkan semula dengan adanya pemimpin Islam seperti Recep Tayyip Erdogan. Malaysia sebagai sebuah negara Islam seharusnya mencontohi pendirian dan kepimpinan Recep Tayyip Erdogan agar Islam terus dijulang didunia.


Artikel ini diadaptasi dari akhbar ILUVISLAM bilangan 17 (25 Jun-1Julai 2010).

Sunday, July 4, 2010

Ya Illahi


Ana ingin kongsikan bersama antum sebuah lagu yang cukup indah. Lagu bertajuk Ya Illahi nyanyian Muhammed al Husayn. Liriknya mempunyai maksud yang mendalam. Bersam-sama yang ambil manfaat dari lagu ini.

Gerakan Mansuhkan Judi


KUALA LUMPUR, 3 Julai: Gerakan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengambil pendekatan kempen bukannya bertembung dengan mana-mana pihak dalam memastikan aktiviti perjudian di negara ini dihapuskan.

Antaranya, mereka akan berbincang dengan pihak media bagi membolehkan kempen memansuhkan aktiviti perjudian di negara ini berjalan lancar.
Antara yang disasarkan oleh GMJ adalah semua media tidak lagi menyiarkan sebarang iklan untuk judi di samping tidak menyiarkan keputusan sebarang aktiviti perjudian.
“Kami akan berbincang dengan media dalam hal ini sebelum mengambil apa-apa tindakan. Jika tidak berubah mungkin akan sampai kepada peringkat boikot,” kata Pengerusi GMJ, Azmi Hamid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena perhimpunan anti judi di perkarangan masjid negara petang tadi. Kira-kira 3,000 peserta dari 60 NGO dan parti politik menyertai perhinpunan ini.
Ia telah ditangguhkan ke jam 5 petang dari rancangan awalnya pada jam 1.30 tengahari bagi menghormati pengkebumian jenazah Allahyarhamah isteri bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail.



Antara yang hadir di majlis perhimpunan ini adalah Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan dan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar.
Sekarang ini, hampir saban hari akhbar harian menyiarkan aktiviti perjudian termasuk keputusan lumba kuda dan judi nombor ramalan iaitu ekor dan toto.
Ia sudah sampai ke peringkat dibuat gurauan, laporan yang benar dan tepat untuk sesetengah media Umno adalah keputusan toto dan empat nombor ekornya.
Dalam pada itu, GMJ telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membuat keputusan dalam kabinet bukannya Majlis Tertinggi Umno tentang pembatalan pemberian memberikan lesen judi sukan kepada kumpulan Berjaya.
Ini kerana, isu pemberian lesen bukan urusan Umno tetapi urusan kerajaan dan kabinet adalah tempat membuat keputusan yang tepat.
“Kami telah menghantar surat namun sehingga kini belum mendapat apa-apa jawapan dari PM,” kata Azmi.
Ekoran pembatalan pengeluaran lesen judi itu, GMJ juga sedang mengkaji semula memorandumnya kepada Yang Dipertuan Agung.
“Kami yakin ia masih relevan tetapi perlu kepada pengubahsuaian,” kata Azmi kepada wartawan.

GMJ juga meminta semua negeri mencontohi Kelantan dalam mengendalikan isu perjudian iaitu dengan tidak mengeluarkan sebarang lesen judi.
“Kita faham, ia tidaklah boleh dijalankan serta merta tetapi kami akan berbincang agar semua negeri boleh membuat tindakan ke arah itu,” katanya.


Artikel ini diambil dari laman sesawang Gerakan Mansuhkan Judi.

Saturday, July 3, 2010

GAZA Menangis



Tika ini, kita dikejutkan dengan isu Palestin, dan Gaza khususnya. Sukarelawan antarabangsa yang bernaung di bawah misi Lifeline for Gaza, berjuang dalam misi mereka untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza. Walaupun misi tersebut menghimpinkan NGO kemanusiaan dari pelbagai Negara, ianya tetap tidak mendapat lampu hijau untuk melepasi Israel.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah, kapal-kapal yang membawa bantuan barang-barang keperluan penduduk Gaza ditahan dan dikepung oleh tentera Israel dengan alasan adanya bahan senjata api yang akan diseludup masuk ke dalam Gaza. Walaupun bahan-bahan bantuan tersebut merupakan bahan keperluan asas penduduk Gaza namun pihak Israel tetap bertegas untuk tidak membenarkan bantuan tersebut dibawa masuk ke Gaza.

Bukan itu sahaja, tentera Israel juga telah menyerang kapal-kapal yang membawa bantuan dan telah meyebabkan kematian sukerelawan antarabangsa antaranya ialah kapal Mavi Marmara. Mereka mendakwa ada antara sukerelawan tersebut yang bertindak ganas. Sebaliknya, melalui rakaman yang diambil didapati pihak sukarelawan terlebih dahulu telah mengangkat bendera putih sebagai tanda ianya tidak akan berbuat apa-apa. Namun, kapal misi menyelamat terus diserang dan tentera Israel melepaskan tembakan secara rambang seterusnya menyebabkan kematian sejumlah anggota sukarelawan antarabangsa.

Kejadian tersebut telah mendapat liputan meluas di seluruh dunia dan mendapat kecaman antarabangsa. Ada antara negara yang terus memanggil duta mereka di Israel untuk pulang ke negara mereka. Setelah mendapat tekanan antarabangsa, barulah Israel membenarkan sebilangan bahan-bahan bantuan kemanusiaan mmasuk ke Gaza. Walaubagaimanapun terdapat juga bantuan yang disekat kerana dikatakan boleh dijadikan bahan senjata api.

Walau apa pun alasan yang diberi oleh Israel, ternyata negara haram itu sememangnya tidak ingin melihat kebebasan penduduk Gaza dan Palestin amnya. Mereka juga akan terus menekan Palestin dan membiarkan rakyatnya hidup penuh sengsara. Kita seharusnya ingat bahawa Israel dan sekutunyalah yang bertanggungjawab mengenakan sekatan ekonomi ke atas Palestin dan menyebabkan kesengsaraan rakyat Palestin hari ini.



Penduduk Gaza ternyata lebih tabah dan pergantungan mereka terhadap ALLAH SWT lebih tinggi apabila mereka diuji dangan serangan dari Israel. Ini dapat dilihat melalui catatan perjalanan ke Gaza iaitu Ustaz Riduan Mohamad Nor dan wakil dari Muslim Care. Catatan perjalanan tersebut diabadikan dalam buku beliau bertajuk "GAZA MENANGIS- Menelusuri Sejarah Perjuangan Palestin dan Pembantaian di Gaza". Berikut merupakan salah satu daripada kandungan buku tersebut yang menyentuh perasaan ana :

gambar solat Pictures, Images and Photos

"Kamu sudah solat atau belum?" Tanya seorang pegawai keselamatan HAMAS di sempadan Rafah setelah kami melepasi sempadan Mesir. "Sudah, tadi kami solat jamak" Jawab Zulnani. Dialog ringkas tadi mengambarkan betapa solat adalah tonggak utama dalam perjuangan Islam. Sebagaimana yang tercatat dalam kisah generasi Al-Quran yang diasuh oleh Nabi Muhammad SAW.

Budaya solat berjemaah adalah satu budaya yang penting yang mencirikan umat Pallestin yang berjuang. Disepanjang perjalanan Rafah, kita akan mendapati banyak masjid di sepanjangnya. Lantunan ayat-ayat suci Al-Quran akan diperdengarkan sebelum azan sehingga kita merasakan kedamaian dan keberkatan. Laungan azan dengan mudah akan menghimpunkan manusia mukmin di Gaza. Berbondong-bongong mereka datang untuk bersolat, juga di tempat lapang mereka akan bersolat berjemaah.

Begitu juga dengan budaya membaca Al-Quran dikalangan masyarakat Palestin. Teringat di hospital as-Shifa, Gaza bagaimana pesakit-pesakit membaca Al-Quran sebagai mengisi masa terluang mereka. Mereka ghairah untuk membaca dan menghafal Al-Quran. Dalam tunjuk perasaan yang diadakan juga kita akan melihat bagaimana pemuda-pemuda mereka akan menjulang ayat Al-Quran menandakan citra perjuangan mereka mendaulatkan dustur Ilahi. Al-Quran telah digunakan untuk memotivasikan diri mereka. Teringat juga saya apabila menteri-menteri dan pegawai-pegawai HAMAS bercakap mereka akan menyulami patah-patah perkataan mereka dengan ayat-ayat Al-Quran.



Budaya berzikir juga amat ketara di bumi Gaza ini. Satu fenomena yang ketara apabila kita melihat anak-anak muda mahu pun yang tua berjalan sambil membawa tasbih ditangan. Budaya berzikir ini dnegan tujuan untuk merapatkan mereka dengan ALLAH SWT serta melahirkan pejuang yang berhati bersih. Papan tanda dan peringatan-peringatan dalam perlbagai cara dibuat ditempat umum untuk mengajak masyarakat berzikir serta mengingati ALLAH SWT. Kesannya amat ketara dan menguja akal sekali. Saya melihat dokumentari bagaimana letupan yang membunuh ramai warga Gaza dan kebanyakan yang cedera parah mahupun syahid mengangkat jari tanda bersyahadah. Mereka menyudahkan nafas terakhir mereka dengan kalimah yang paling baik.’’

Demikian catatan perjalanan yang begitu menyentuh hati. Ana sendiri merasa malu dengan warga Gaza kerana kurangnya amalan ana berbanding dengan warga mukmin Gaza. Disaat mereka diuji, mereka tetap mendekatkan diri dengan ALLAH, dan menjadikan ALLAH sebagai kekuatan mereka. Berbanding ana yang berada di sini, di Negara yang aman damai tetapi amat sedikit ana bersyukur dengan nikmat-NYa. Seharusnya, ana dan juga pembaca bermuhasabah, agar kita ambil iktibar dari ketabahan warga Gaza dan mencontohi amalan-amalan mereka untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

Nukilan ini diadaptasi dari hasil karya Ustaz Riduan Mohamad Nor dan Aris Hazlan Ismail dalam buku mereka
‘’GAZA MENANGIS - Menelusuri Sejarah Perjuangan Palestin dan Pembantaian di Gaza’’ terbitan Jundi Resources.

Islam Disebarkan Melalui Mata Pedang?




Islam itu indah dan agama yang mencakupi semua aspek kehidupan. Semuanya diatur dalam Islam. Adalah lebih baik kita sampaikan Islam kepada golongan bukan Islam. Namun yang demikian, dalam ppada usaha umat Islam menyampaikan Islam, golongan bukan Islam terus menyerang umat Islam. Para orientalis juga telah melemparkan pelbagai fitnah tentang Islam.

Justeru, kita seharusnya bersedia untuk menghadapi tuduhan golongan tersebut yang berjuang untuk menghancurkan Islam. Ana menemui sebuah buku, karya Dr Zakir Abdul Karim Naik yang berjudul 20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam. Beliau merupakan seorang ilmuwan Islam yang aktif berdebat tentang perbandingan agama dengan pakar-pakar dan orang ternama agama lain.


Islam disebarkan melalui mata pedang?

Ana ingin kongsikan satu persoalan yang sering ditanya oleh golongan bukan Islam terhadap umat Islam. Soalan tersebut ialah “Bagaimana Islam dikatakan agama kesejahteraan sedangkan ia disebarkan melalui mata pedang?” Jawapan terhadap soalan terbabit ana [etik daripada buku Dr Zakir Abdul Karim Naik. Menurut beliau:

Adalah satu rungutan biasa dikalangan beberapa orang bukan Islam bahawa Islam tidak akan mempunyai jutaan pengikut di seluruh dunia, sekiranya penyebarannya tidak dilakukan dengan kekerasan. Fakta berikut akan menjelaskan bahawa jauh sekali daripada menggunakan mata pedang untuk menyebarkan Islam, kewujudan kebenaran, sebab yang munasabah dan logik adalah yang bertanggungjawab terhadap penyebaran Islam.

1. Islam bererti kesejahteraan
Islam berasal dari kata akar salam yang bermakna sejahtera. Ia juga bermaksud menyerahkan kehendak diri kepada ALLAH SWT. Oleh itu Islam adalah agama kesejahteraan diperolehi dengan kehendak diri kepada kehendak Yang Maha Pencipta, ALLAH SWT.

2. Kadang kala kekerasan perlu untuk memelihara kesejahteraan. Bukan setiap dan semua manusia di dunia ini menyokong pemeliharaan kesejahteraan dan keharmonian. Terdapat ramai yang akan menganggu kesejahteraan untuk kepentingan sendiri. Hanya kerana sebab ini kita mempunyai polis yang meggunakan kekerasan terhadap penjenayah dan unsur antisosial untuk mempertahankan kesejahteraan negara. Pada masa yang sama Islam menggesa pengikutnya melawan sekiranya terdapat penindasan. Perjuangan menentang penindasan kadangkala memerlukan kekerasan. Dalam Islam, kekerasan hanya boleh digunakan untuk menggalakkan kesejahteraan dan keadilan.

3. Pandangan sejarahwan De Lacy O”Leary
Jawapan terbaik kepada salah tanggapan bahawa Islam disebarkan melalui mata pedang diberikan oleh sejarahwan De Lacy O”Leary di dalam buku “Islam at the cross roads” (halaman 8) “sejarah menunjukkan dengan jelas bahawa lagenda umat Islam fanatik yang bergerak serata dunia dan memaksa kaum yang ditawan untuk memluk Islam dengan cara kekerasan adalah sebenarnya satu mitos karut terhebat yang pernah diulangi oleh sejarahwan.”

4.Umat Islam memrintah Sepanyol selama 800 tahun.
Umat Islam memerintah Sepanyol selama lebih kurang 800 tahun. Umat Islam tidak pernah menggunakkan mata pedang untuk memaksa sesiapa menukar agama. Hanya kemudian, pejuang-pejuang salibi kristian datang ke Sepanyol dan menghapuskan umat Islam. Tiada seorang pun umat islam dapat melaungkan azan, iaitu seruan untuk solat secara terbuka.

5. 14 juta orang arab ialah kristian koptik.
Orang Islam merupakan pemerintah Negara Arab selama 1400 tahun. Orang British memerintah selama beberapa tahun dan orang Perancis juga memrintah selama beberapa tahun. Secara keselururhan, orang Islam memerintah arab selama 1400 tahun. Sungguhpun demikian pada hari ini terdapat 14 juta orang arab yang merupakan kristian koptik iaitu kristian sejak turun temurun. Jika orang islam telah menggunakkan mata pedang pasti tiada seorang pun orang arab yang beragama Kristian.

islam Pictures, Images and Photos

6. terdapat lebih 80% orang bukan Islam di India.
Orang Islam memerintah India selama lebih kurang seribu tahun. Jika mereka mahu, mereka mempunyai kuasa untuk mengislamkan setiap penduduk bukan islam di India. Pada hari ini, lebih 80% penduduk bukan beragama Islam ada di India. Ini adalah salah satu bukti Islam tidak dikembangkan melalui mata pedang.

7. Indonesia dan Malaysia
Indonesia merupakan salah satu Negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia. Majoriti penduduk Malaysia adalah Islam. Pasukan tentera Islam manakah yang telah ke Indonesia dan Malaysia?

8. Pantai Timur Afrika.
Begitu juga Islam tersebar luas di pantai Timur Afrika. Mugkin ada yang bertanya lagi, sekiranya Islam disebarkan melalui mata pedang pasukan tentera Islam manakah yang telah ke Pantai Timur Afrika ?

9. Thomas Carlyle
Sejarahwan terkemuka Thomas Carlyle dalam bukunya heroes dan hero worship merujuk kepada tanggapan salah mengenai penyebaran islam. “Sememangnya mata pedang, tetapi dimanakah mata pedang itu diperolehi? Setiap pandagan yang baru pada permulaannya secara tepat adalah minority yang satu. Di dalam pemikiran manusia sahaja. Dan ia kekal di situ. Satu insane sahaja dari seluruh dunia yang mempercayai hanya seorang manusia menentang seluruh manusia. Bahawa dia mengambil mata pedang dan cuba menyebarkannya, tidak banyak yang dapat dilakukan. Kamu mesti mendapatkan mata pedang kamu. Satu kesemuanya, sesuatu itu akan tersbear sendirinya.

10. Tiada paksaan dalam beragama.
Dengan mata pedang manakah islam disebarkan? Sungguhpun jika orang islam memilikinya mereka tidak boleh menggunakkannya untuk menyebarkan Islam kerana di dalam Al-Quran disebut ayat berikut:
“ Tidak ada paksaan untuk(memasuki) agama(Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” - al-Baqarah 2:256

11. Pedang kebijaksanaan/kebenaran
Ia adalah mata pedang kebijaksanaan.mata pedang yang menawan hati dan pemikiran manusia. Al-Quran menyebut dalam surah an-Nahl, ayat 125:
“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka denag cara yang baik.”

12. Pertambahan agama di dunia dari 1934 sehingga 1984
Stu rencana didalam Readers Digest “Almanac” buku tahunan 1986 memberikan statistic pertambahan peratusan agama di dunia dalam tempoh setengah abad daripada tahun 1934 sehingga tahun 1984. rencana ini juga diisiarkan dalam majalah The Plain Truth. Tempat teratas adalah islam dengan peningkatan sebanyak 235% dan agam kristian hanya meningkat dnegan kadar 47%. Mungkin ada yang bertanya apakah yang berlaku pada abad ini yang berjaya mengislamkan jutaan umat manusia?

13. Islam adalah agama paling cepat berkembang di Eropah dan Amerika.
Pada hari ini, agama yang paling cepat berkembang di amerika adalah Islam. Agama yang paling cepat berkembang di Eropah adalah Islam. Mata pedang manakah yang memaksa oorang barat untuk menerima Islam dalam jumlah sebegitu tinggi?

14. Dr. Joseph Adam Pearson
Dr. Joseph Adam Pearson pernah berkata, “mereka bimbang kuasa muklear akan jatuh ke tangan orang arab satu hari nanti gagal menyedari bahawa Bomb Islam telahpun tersebar dan ia berlaku pada hari MUHAMMAD SAW dilahirkan.”

Dipetik daripada karya Dr Zakir Abdul Karim Naik dalam buku beliau berjudul “20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam”.

Monday, June 28, 2010

Ziarah Al-Irfaan



Hampir 5 tahun setelah melangkah keluar dari KML. Namun, terasa seperti baru semalam meninggalkan kampus ini. Berada disini, seperti berada di saat itu.
Saat dimana ana baru melangkah ke KML dan mencari-cari Blok D. Ana melangkah masuk ke surau Al-Irfaan dan ternyata, ada yang berubah. Tanpa sedar, ana telah masuk di laluan muslimin. Rupanya laluan ini telah ditukar dan laluan muslimah adalah di sebelah kiri surau.

Terasa aneh, tapi itulah realitinya. Seakan-akan terbayang wajah sahabat-sahabat tika itu yang tersenyum riang. Disinilah ana bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan... di Al-Irfaan. Apabila melangkah masuk ke ruang solat, sekali lagi ana terkejut. Rupanya, tempat solat muslimah telah dipindahkan ke bahagian bawah, di sebelah kiri masjid.

Pustaka juga telah di ubah ke sebelah kanan masjid. Dulu, di pustaka inilah ana mengulangkaji menjelang exam. Di sini jugalah tempat ana mencari rujukan dan soalan exam. Di sini jugalah tempat ana mencari bahan bacaan Islam untuk rohani yang ketandusan ilmu. Di sini jugalah tempat ana berbincang bersama sahabat-sahabat sebelum exam. Bila ana melangkah ke bahagian sisi kiri surau..ana lihat ada khemah. Dulu, di situlah kami bergotong-royong memasak untuk berbuka puasa. Ya, kenangan itu masih segar di ingatan.

Tujuan ana kembali ke KML bukan sekadar ziarah, tetapi juga untuk mengeratkan ukhuwah dengan adik-adik di Al-Irfaan. Ternyata, mereka semua kelihatan begitu bersungguh-sungguh semasa mengikuti program Kursus Pemantapan Organisasi AJK Surau Al-Irfaan. Melihat keadaan mereka, membuatkan ana terbayang-bayang saat menjadi ajk dahulu. Begitu banyak ujian datang. Ana juga harus membahagikan masa antara belajar dan tanggungjawab yang di amanahkan. Namun, ana tetap merasa seronok berada dalam suasana Al-Irfaan. Segala kesedihan ana akan hilang bila bersama dengan sahabat Al-Irfaan.

Alhamdulillah, dapat juga berkongsi ilmu dengan adik-adik di sini. Walaupun kesempatan yang ada hanya sekejap, namun, ianya cukup bermakna. Rasanya, seperti ingin ke sini setiap hari, tapi ana tak berdaya. Semoga dikesempatan lain, ana dapat terus memberi sumbangan buat adik-adik. Sesungguhnya, walaupun jauh ana tetap merasa dekat dengan Al-Irfaan. Semoga antum akan menjalankan tanggungjawab yang digalas dengan penuh amanah. Itulah harapan ana. Meskipun ianya tidak mudah tetapi ianya tidak mustahil. Kerana antum adalah mata rantai perjuangan Islam di bumi KML. Besarlah harapan ana terhadap antum di Al-Irfaan. Dan sesungguhnya, bergera kerja dalam Al-Irfaan akan meninggalkan memori yang indah dalam hidup antum.

Wahai permata irfaan , teruskan perjuangan walau apa juga akan berlaku. Hadapailah segala dugaan dan rintangan yang akan datang dengan tabah. Setiap kali ujian datang ingatlah bahawa antum tidak bersendirian. ALLAH ada sentiasa. Alumni Irfaan juga ada untuk membantu antum. Kita ibarat satu keluarga, jadi kongsilah masalah antum dengan kami. Mudah-mudahan, dengan izin ALLAH, kami dapat membantu antum. Semoga ikatan yang terbina akan terus berkekalan. Ukhuwah fillah abadan abada..

Tuesday, July 28, 2009

Hari Ini Dan Semalam...




Masa berlalu pantas dan setiap hari kita meniti usia yang semakin matang. Itulah lumrah hidup, yang muda pasti akan menjadi tua dan seterusnya apabila ajal menjemput, akan kembali kepadaNYA..