Welcome To My Page

Saturday, July 3, 2010

GAZA Menangis



Tika ini, kita dikejutkan dengan isu Palestin, dan Gaza khususnya. Sukarelawan antarabangsa yang bernaung di bawah misi Lifeline for Gaza, berjuang dalam misi mereka untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza. Walaupun misi tersebut menghimpinkan NGO kemanusiaan dari pelbagai Negara, ianya tetap tidak mendapat lampu hijau untuk melepasi Israel.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah, kapal-kapal yang membawa bantuan barang-barang keperluan penduduk Gaza ditahan dan dikepung oleh tentera Israel dengan alasan adanya bahan senjata api yang akan diseludup masuk ke dalam Gaza. Walaupun bahan-bahan bantuan tersebut merupakan bahan keperluan asas penduduk Gaza namun pihak Israel tetap bertegas untuk tidak membenarkan bantuan tersebut dibawa masuk ke Gaza.

Bukan itu sahaja, tentera Israel juga telah menyerang kapal-kapal yang membawa bantuan dan telah meyebabkan kematian sukerelawan antarabangsa antaranya ialah kapal Mavi Marmara. Mereka mendakwa ada antara sukerelawan tersebut yang bertindak ganas. Sebaliknya, melalui rakaman yang diambil didapati pihak sukarelawan terlebih dahulu telah mengangkat bendera putih sebagai tanda ianya tidak akan berbuat apa-apa. Namun, kapal misi menyelamat terus diserang dan tentera Israel melepaskan tembakan secara rambang seterusnya menyebabkan kematian sejumlah anggota sukarelawan antarabangsa.

Kejadian tersebut telah mendapat liputan meluas di seluruh dunia dan mendapat kecaman antarabangsa. Ada antara negara yang terus memanggil duta mereka di Israel untuk pulang ke negara mereka. Setelah mendapat tekanan antarabangsa, barulah Israel membenarkan sebilangan bahan-bahan bantuan kemanusiaan mmasuk ke Gaza. Walaubagaimanapun terdapat juga bantuan yang disekat kerana dikatakan boleh dijadikan bahan senjata api.

Walau apa pun alasan yang diberi oleh Israel, ternyata negara haram itu sememangnya tidak ingin melihat kebebasan penduduk Gaza dan Palestin amnya. Mereka juga akan terus menekan Palestin dan membiarkan rakyatnya hidup penuh sengsara. Kita seharusnya ingat bahawa Israel dan sekutunyalah yang bertanggungjawab mengenakan sekatan ekonomi ke atas Palestin dan menyebabkan kesengsaraan rakyat Palestin hari ini.



Penduduk Gaza ternyata lebih tabah dan pergantungan mereka terhadap ALLAH SWT lebih tinggi apabila mereka diuji dangan serangan dari Israel. Ini dapat dilihat melalui catatan perjalanan ke Gaza iaitu Ustaz Riduan Mohamad Nor dan wakil dari Muslim Care. Catatan perjalanan tersebut diabadikan dalam buku beliau bertajuk "GAZA MENANGIS- Menelusuri Sejarah Perjuangan Palestin dan Pembantaian di Gaza". Berikut merupakan salah satu daripada kandungan buku tersebut yang menyentuh perasaan ana :

gambar solat Pictures, Images and Photos

"Kamu sudah solat atau belum?" Tanya seorang pegawai keselamatan HAMAS di sempadan Rafah setelah kami melepasi sempadan Mesir. "Sudah, tadi kami solat jamak" Jawab Zulnani. Dialog ringkas tadi mengambarkan betapa solat adalah tonggak utama dalam perjuangan Islam. Sebagaimana yang tercatat dalam kisah generasi Al-Quran yang diasuh oleh Nabi Muhammad SAW.

Budaya solat berjemaah adalah satu budaya yang penting yang mencirikan umat Pallestin yang berjuang. Disepanjang perjalanan Rafah, kita akan mendapati banyak masjid di sepanjangnya. Lantunan ayat-ayat suci Al-Quran akan diperdengarkan sebelum azan sehingga kita merasakan kedamaian dan keberkatan. Laungan azan dengan mudah akan menghimpunkan manusia mukmin di Gaza. Berbondong-bongong mereka datang untuk bersolat, juga di tempat lapang mereka akan bersolat berjemaah.

Begitu juga dengan budaya membaca Al-Quran dikalangan masyarakat Palestin. Teringat di hospital as-Shifa, Gaza bagaimana pesakit-pesakit membaca Al-Quran sebagai mengisi masa terluang mereka. Mereka ghairah untuk membaca dan menghafal Al-Quran. Dalam tunjuk perasaan yang diadakan juga kita akan melihat bagaimana pemuda-pemuda mereka akan menjulang ayat Al-Quran menandakan citra perjuangan mereka mendaulatkan dustur Ilahi. Al-Quran telah digunakan untuk memotivasikan diri mereka. Teringat juga saya apabila menteri-menteri dan pegawai-pegawai HAMAS bercakap mereka akan menyulami patah-patah perkataan mereka dengan ayat-ayat Al-Quran.



Budaya berzikir juga amat ketara di bumi Gaza ini. Satu fenomena yang ketara apabila kita melihat anak-anak muda mahu pun yang tua berjalan sambil membawa tasbih ditangan. Budaya berzikir ini dnegan tujuan untuk merapatkan mereka dengan ALLAH SWT serta melahirkan pejuang yang berhati bersih. Papan tanda dan peringatan-peringatan dalam perlbagai cara dibuat ditempat umum untuk mengajak masyarakat berzikir serta mengingati ALLAH SWT. Kesannya amat ketara dan menguja akal sekali. Saya melihat dokumentari bagaimana letupan yang membunuh ramai warga Gaza dan kebanyakan yang cedera parah mahupun syahid mengangkat jari tanda bersyahadah. Mereka menyudahkan nafas terakhir mereka dengan kalimah yang paling baik.’’

Demikian catatan perjalanan yang begitu menyentuh hati. Ana sendiri merasa malu dengan warga Gaza kerana kurangnya amalan ana berbanding dengan warga mukmin Gaza. Disaat mereka diuji, mereka tetap mendekatkan diri dengan ALLAH, dan menjadikan ALLAH sebagai kekuatan mereka. Berbanding ana yang berada di sini, di Negara yang aman damai tetapi amat sedikit ana bersyukur dengan nikmat-NYa. Seharusnya, ana dan juga pembaca bermuhasabah, agar kita ambil iktibar dari ketabahan warga Gaza dan mencontohi amalan-amalan mereka untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

Nukilan ini diadaptasi dari hasil karya Ustaz Riduan Mohamad Nor dan Aris Hazlan Ismail dalam buku mereka
‘’GAZA MENANGIS - Menelusuri Sejarah Perjuangan Palestin dan Pembantaian di Gaza’’ terbitan Jundi Resources.

No comments:

Post a Comment